Make your own free website on Tripod.com

LATAR BELAKANG

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah merupakan seorang tokoh yang mempunyai sifat-sifat istemewa di sebalik kejayaannya.
Beliau merupakan seorang yang peramah, baik hati, arif dalam membuat pertimbangan, berjiwa rakyat, setia kepada sahabat-sahabatnya, rendah diri, murah hati, sentiasa bersimpati, bertanggungjawab serta banyak lagi nilai yang membolehkan beliau mempunyai kenalan yang ramai.

Tunku dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Istana Tingkat Tiga (Istana Kota Lama) Alor Setar, Kedah. Beliau seorang yang berkedudukan namun dia tetap bergaul dengan sesiapa sahaja . Beliau merupakan putera ke-6 dari isteri kedua atau yang ke-24 bagi ayahnya. Ayahandanya, Sultan Abdul Hamid, menaiki takhta Kedah pada 1881 dan mangkat pada tahun 1943.Ibunya pula, Che Manjalara, berketurunan Siam dan Burma dan menukar namanya kepada Sharifah Fatimah setelah memeluk agama Islam.
Tunku telah berkahwin pada tahun 1939 dengan isterinya Sharifah Rodziah binti Syed Alwi Barakbah. Kedua-duanya merupakan tokoh kebanggaan negara.

 

PENDIDIKAN AWAL

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu, Alor Star kemudiannya ke Sekolah Inggeris (sekarang dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar) Kedah. Ketika berusia lapan tahun beliau mengikuti abangnya ke Bangkok dan meneruskan pangajiannya di sana. Pada tahun 1915, beliau meneruskan pengajiannya di Penang Tree School.Selepas itu, ke St. Catherine College, Universiti Cambridge England untuk belajar undang-undang dan kemudiannya balik ke Tanah Melayu pada tahun 1925 setelah menamatkan pelajarannya. Tunku mendapat ijazah B.A dalam sastera.
Beliau kembali ke England untuk menyambung pelajarannya dalam bidang Undang-undang di Inner Temple, England pada tahun 1938. namun pengajiannya terbantut apabila Perang Dunia Kedua meletus.
Demi menyempurnakan hasratnya menjadi peguam maka pada tahun 1947, beliau sekali lagi ke England bagi melanjutkan pelajarannya dalam pengajian undang-undang di Cambridge Universiti dan ditauliahkan pada tahun 1949.

 

KEPERIBADIAN

Tunku telah banyak berkorban untuk negara. Pelbagai cabaran serta rintangan dihadapi namun segalanya berjaya diatasi dengan cekal dan tabah. Bapa Perpaduan Malaysia ini telah membuktikan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang berwibawa. Tunku merupakan seorang tokoh yang mempunyai perwatakan dan keperibadian tersendiri serta istimewa yang sukar ditandingi.
Tunku Abdul Rahman telah menunjukkan bakat kepimpinannya sejak menjadi Pegawai Daerah. Beliau sentiasa prihatin terhadap insan lain seperti memperbaiki mutu kesihatan penduduk-penduduk di luar bandar yang diserang penyakit malaria dan membela nasib pemandu-pemandu teksi di Sungai Patani. Beliau juga sanggup menghantar misi pendamai dan keamanan ke Congo, Afrika yang dilanda perang saudara 1961. Beliau berusaha menyatu padu rakyat berbilang kaum dalam usaha menentang British dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau juga berusaha meningkatkan status ekonomi rakyat dan negara. Beliau turut dikenali sebagai “Bapa Keamanan dan Perpaduan”. Ketegasannya dalam membantah pengiktirafan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai parti sah sewaktu Rundingan Baling membolehkan negara kita bebas daripada ancaman atau pengaruh komunis. Kegigihan, keberanian dan ketegasan beliau telah membebaskan negara kita daripada belenggu penjajah. Rakyat seharusnya berasa kagum dengan matlamat hidupnya yang begitu mulia dan menghargai kesanggupannya mengorbankan masa-masanya yang berharga bagi membentuk negara yang merdeka.

 

PENGLIBATAN DALAM SUKAN

Beliau juga merupakan seorang yang aktif dalam sukan. Mempunyai banyak hobi termasuk menunggang kuda, memancing ikan dan memasak.
Meminati bidang sukan sejak kecil terutama menunggang kuda dan bermain golf. Bola sepak merupakan bidang yang paling diminati. Pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu, Bola Sepak Selangor dan Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia pada 14 Febuari, 1954.

 

 

KERJAYA

Tunku dilantik sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1957. Beliau turut memegang portfolio Menteri Dalam Negeri. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah memegang beberapa jawatan lain.
Kerjayanya bermula pada 10 Disember 1931 apabila beliau berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda, Padang Terap, Kuala Nerang, Sungai Petani dan Kulim, Kedah.
1940, Tunku menjadi Timbalan Pengarah Keselamatan Awam Kedah. 1943 pula, beliau telah dilantik menjadi Penyelia Pelajaran Kedah. Tunku juga pernah bertugas sebagai Pendakwaraya di Perkhidmatan Kehakiman Kuala Lumpur.
Pada tahun 1955, Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.
Penglibatan beliau dalam bidang politik tamat apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 22 September 1970.

 

SUMBANGAN DALAM PENULISAN

Tunku merupakan seorang penulis yang berbakat. Karya beliau mampu menarik perhatian orang ramai. Walaupun pada masa Tunku bersara, ketika berumur 85 tahun, beliau masih bergiat cergas malah semakin aktif dalam bidang penulisan seperti ruangan Looking Back dan As I See It dalam akhbar The Star. Sepanjang 16 September 1974 sehingga 16 Ogos 1975, Tunku telah menghasilkan sebanyak 53 artikel dalam ruangan Looking Back. Pada tahun 1969, Tunku telah menghasilkan buku beliau yang pertama iaitu May 13, Before and After . Selepas itu, beliau meneruskan penulisannya dalam akhbar The Star melalui ruangan baru iaitu As I See It. Artikel-artikel yang beliau hasilkan dalam akhbar adalah berkenaan masyarakat dan insiden-insiden politik yang berlaku pada zaman beliau. Beliau turut menghasilkan Viewpoints (1970), Looking Back (!977), As Matter of Interest (1981), Something to Remember (1983), Less We Forget dan Contemporary Issuus in Malaysian Politics (1984), Challenging Times (1986) dan Political Awakening (1986). Semua hasil tersebut adalah tentang isu-isu semasa.

 

SUMBANGAN DALAM KESENIAN

Tunku juga berminat dalam bidang seni dan kebudayaan negara. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau bercita-cita menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kebudayaan. Pada 27 Ogos hingga 30 Ogos 1969, beliau telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Drama dan Muzik Tradisional Asia Tenggara dengan tujuan menonjolkan kebudayaan Melayu di mata dunia. Tunku telah menghasilkan tiga karya yang kemudiannya difilemkan iaitu “Mahsuri”, “Raja Bersiung” dan “Sumpahan Mahsuri”. Filem “Raja Bersiung” merupakan antara filem Melayu pertama yang berwarna di Malaysia yang ditayangkan untuk mengutip derma bagi tabung Tugu Peringatan Rosli Dhobie.

 

SUMBANGAN PERINGKAT ANTARABANGSA

Pada 31 Julai 1961, Tunku telah mengasaskan ASA (Assosiation of South East Asian States) yang terdiri daripada Tanah Melayu, Filipina, dan Negara Thai.
Pada 11 Julai 1962, MAPHILINDO yang dianggotai oleh Indonesia, Filipina dan Malaysia dibentuk. Akan tetapi, persatuan ini tergugat apabila Malaysia menghadapi konfrontasi dengan Indonesia dan Filipina sebaik sahaja Malaysia diisytiharkan.
Ketika berusaha menyelesaikan masalah tersebut, Tunku dihampakan apabila Singapura memutuskan untuk keluar daripada Persekutuan pada 9 Ogos 1965. Tunku berjaya mengatasi konfrontasi tersebut melalui perjanjian dengan Indonesia pada 2 Jun 1966 dan Filipina, 3 Jun 1966 .
Beliau juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Agung Pertama Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) oleh Raja Faizal dari Jeddah.

 

SUMBANGAN DALAM PERKEMBANGAN ISLAM

Tunku telah banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan Islam di negara kita malah mengharumkan nama negara di persada dunia. Beliau banyak melibatkan diri dalam penganjuran Pertandingan Membaca Al-Quran.
Menjadi Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) pada Ogos 1960. Atas kebolehan dan daya usaha gigihnya, beliau berjaya meletakkan PERKIM sebagai sebuah pertubuhan yang terkemuka dan dihormati oleh semua umat Islam.
Tunku Abdul Rahman adalah seorang pejuang kemanusiaan yang tulen. Beliau telah membenarkan PERKIM cawangan Kedah menggunakan tanah kepunyaannya untuk membina rumah anak-anak yatim dan orang tua yang diberi nama Darul Aliam Wal Masalan Tunku Abdul Rahman Putra.
Sebagai pemimpin PERKIM, beliau berusaha memberi bantuan kepada pelarian Kemboja yang memasuki Malaysia melalui Kelantan pada tahun 1975. Dengan bantuan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, beliau telah berjaya menempatkan seramai 4,500 orang pelarian di Pengkalan Chepa dan Cheranting.
Pada 18 Januari 1980, beliau telah dilantik menjadi Presiden ‘Regional Islamic Council for South East Asia and The Pacific’ (RISEAP) yang pertama oleh perwakilan di Persidangan Negara-negara Islam. Atas segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan, beliau mendapat penghargaan dari Pakistan dengan Anugerah Hadiah Hijrah pada Mac 1983 dan Anugerah Al-Malik Faizal dari Arab Saudi pada tahun yang sama.

 

KEJAYAAN TUNKU

Rakyat menyanjung tinggi Tunku kerana mencapai begitu banyak kejayaan dan menyumbang kepada keamanan dan kemerdekaan negara serta penyatupaduan rakyat. Sebelum mencapai kemerdekaan, Tunku sudah yakin bahawa beliau perlu menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan untuk mencapai kemerdekaan dan menyatupadukan rakyat. Ini menyebabkan rakyat berasa terhutang budi dan mengaguminya. Setelah dilantik menjadi presiden UMNO, beliau berikhtiar untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Tetapi, cabaran yang terpaksa dihadapinya ialah untuk menyatupadukan parti-parti kaum yang lain bagi mencapai tujuan ini. Oleh itu, dia membentuk Parti Perikatan dengan menggabungkan UMNO-MCA. Cadangan ini berjaya dan membolehkan Parti Perikatan memenangi Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952 dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi

Kejayaan yang menakjubkan ini menarik perhatian MIC untuk menyertai gabungan ini. Tahun 1955 merupakan tahun yang menjadi ujian sebenar bagi Tunku Abdul Rahman. Parti Perikatan perlu memenangi pilihan raya kali ini untuk membuktikan kepada kerajaan British bahawa tanah air kita yang terdiri daripada berbilang kaum sudah sedia untuk merdeka. Tunku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pilihan majoriti. Beliau membuat lawatan ke hampir seluruh Tanah Melayu tanpa mengira penat dan lelah. Akhirnya beliau berjaya melepasi rintangan ini dengan memenangi pilihan raya itu. Beliau seterusnya mengetuai Rombongan Kemerdekaan ke London pada tahun 1956 untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu.

Beliau berjaya mendapatkan persetujuan British dan 31 Ogos 1957 ditetapkan sebagai tarikh kemerdekaan. Selepas kejayaan ini, beliau mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia, terutamanya media massa. Pada 27 Mei 1961, Tunku telah mengemukakan cadangan untuk menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei bagi membentuk sebuah negara yang bernama Malaysia. Idea tersebut mendapat sokongan dari negara-negara tersebut kecuali Brunei. Pada 6 Januari 1962, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan British telah menubuhkan Suruhanjaya Cobbold bagi meninjau reaksi dan pendapat rakyat Sabah dan Sarawak tentang pembentukan Malaysia. Akhirnya Malaysia dibentuk pada 16 Julai 1963 dengan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

 

ANUGERAH

Pelbagai anugerah telah diterima oleh beliau daripada universiti-universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Sydney, Universiti Araneta dan Universiti India. Beliau juga menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Oxford, England pada tahun 1970, Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang dari Universiti Cambridge (1970) dan Ijazah Kehormat Pentadbiran Awam dari Universiti Prince of Songkhla, Thailand (1977). Beliau juga menerima penghormatan dalam bentuk pangkat dan darjah-darjah kebesaran sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Ini termasuklah pangkat-pangkat seperti Order of Istiqqlal, Maghribi pada tahun 1957, Darjah Utama Negeri Kedah pada tahun 1958, Order of Kim Khanh, Vietnam (1958), Seri Paduka Mahkota Brunei (S.P.M.B) dan Grand Cross of the Order of the Crown dari Belgium Order of Sikatuna dari Filipina (1959), Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Kelas Pertama), Anugerah Ramon Magsaysay dari Filipina (1960), Knight Grang Cross of the Most Illustrios Order of Chula Chom Klao dari Thailand (1962), Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) dan Grand Cross of the Royal Order of Sahametrai dari Kemboja.

 

PERGINYA SEORANG WIRA BANGSA

Pada 6 Disember 1990, Tunku menghembus nafasnya yang terakhir pada usia 87 tahun di Hospital Besar Kuala Lumpur. Pihak kerajaan telah mengiktiraf “Istiadat Pengebumian Negara” kepada beliau. Pada 7 Disember 1970, jenazah beliau telah diberi penghormatan terakhir oleh orang ramai di Dewan Bankuasi, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Selepas itu, jenazah beliau diterbangkan ke Alor Setar, Sungai Besi. Setibanya di sana, jenazahnya diberi penghormatan terakhir oleh Sultan dan Sultanah Kedah di Balai Besar, Alor Setar sebelum diusung menuju makam diraja untuk menjalani istiadat pengebumian. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang besar dan jasanya sentiasa dikenang oleh rakyat Malaysia.

 

 

 

<--BACK